Sejarah Pulau Tioman

Menurut kisah dongeng yang dipercayai penduduk tempatan, nama Tioman berasal dari sepasang naga. Pada zaman dahulukala, sepasang naga (naga jantan dan naga betina) meninggalkan Tasik Chini, Pahang dan hanyut ke laut melalui Sungai Pahang. Dalam perjalanan, naga ini tertinggal kain cindai lalu berpatah balik. Malangnya, waktu itu ayam telah berkokok. Naga ini pantang mendengar ayam berkokok. Oleh sebab melanggar pantang, naga betina bertukar menjadi pulau dan naga jantan bertukar menjadi pulau di kepulauan Indonesia. Hal ini boleh dikukuhkan lagi dengan kewujudan gunung di Kampung Mukut yang seakan-akan seperti tanduk seekor naga.

 

Sejarah Nama Tioman

Menurut orang terdahulu, nama Pulau Tioman berasal dari burung ‘Tiong’. Kisah ini bermula apabila sekumpulan pedagang dari tanah besar yang singgah  di Tioman, lalu mereka naik ke daratan dan ternampak sepasang burung tiong lalu bertanya, “siapakah empunya burung tiong ini?”. Lalu seorang penduduk tempatan tampil dan berkata, “itu burung tiong man”. “Man” adalah perkataan orang Tioman yang membawa maksud “saya”. Kebetulan pada masa itu pulau ini masih belum mempunyai nama, maka pedagang itu pun menamakan pulau ini sebagai Tioman. Maka nama Tioman kekal sehingga hari ini. 

 

Sejarah Nama Kampung Tekek

Menurut cerita orang tempatan terdahulu nama Kampung Tekek berasal dari cicak yang mengeluarkan bunyi  seakan-akan perkataan ‘Tekek’. Oleh kerana bilangan cicak ini terlampau banyak maka timbullah cadangan untuk menamakan kampung ini bersempena dengan bunyi yang dihasilkan oleh cicak ini. Secara tidak langsung kampung ini dipanggil Kampung Tekek. Maka nama Kampung Tekek kekal sehingga ke hari ini.