Pulau Tioman memiliki keluasan 39 km panjang dan 12 km lebar, dan merupakan sebuah pulau di sebelah pantai timur Semenanjung Malaysia. Pulau Tioman terletak dalam Daerah Rompin dan di bawah pentadbiran negeri Pahang Darul Makmur. Jarak antara jeti Mersing, Johor ke Pulau Tioman adalah 70 km. Pulau Tioman juga boleh dilalui melalui jeti Tanjung Gemok, Kuala Rompin, Pahang. Perkhidmatan penerbangan juga tersedia di pulau ini bagi memudahkan dan lebih menjimatkan masa untuk pelancong berkunjung ke sini.

Pulau Tioman mempunyai tujuh buah kampung yang utama iaitu Kampung Salang, Kampung Air Batang, Kampung Tekek, Kampung Paya, Kampung Genting, Kampung Mukut dan Kampung Juara. Walau bagaimanapun, Kampung Tekek merupakan kampung utama dalam Pulau Tioman.

Kampung Tekek merupakan salah sebuah kampung yang terdapat dalam mukim Pulau Tioman. Kampung Tekek mempunyai penduduk paling ramai berbanding kampung-kampung lain dengan bilangan penduduk sekitar 1,000 orang. Rata-rata kediaman penduduk di sini adalah di tepi-tepi pantai disebabkan faktor geografi Pulau Tioman yang bergunung ganang.